"Setiap yang bernyawa pasti merasai keperitan mati"

Tuesday, 4 December 2012

Semanis Gadis Berbaju Kurung.

" Kata nenek baju kurung adalah busana palling hebat dan indah yang pernah dihasilkan oleh orang Melayu. Maka pewarisnya haruslah memiliki sikap ambil peduli dalam mengangkat busana ini ke tahap yang selayaknya. Memikul tanggungjawab dalam memelihara maruahnya. Tidak tercela dek keghairahan mengagungkan busana barat yang tampak tidak cukup sempurna untuk disarungkan di tubuh orang Melayu. "

      Sejak dari zaman kecil lagi aku sudah diasuh memakai baju kurung. Mana mungkin aku meninggalkannya semata-mata untuk berhijrah ke bandar. Baju kurung itulah yang telah membesarkan aku. Baju kurung itulah yang telah mendewasakan aku dalam memartabatkan maruah menjadi seorang gadis.

      Di sebalik penciptaan baju kurung itu tersimpan seribu satu rahsia yang tidak siapa ambil peduli. Banyak falsafahnya. Pernahkah anda mendengar gadis berbaju kurung dirogol ? Diperkosa ? Gadis berbaju kurung buruk akhlaknya ? Kerana gadis yang berbaju kurung itu memegang teguh sopan santun, menjaga rapi aurat, menjunjung budaya warisan.

      Aku tidak mahu menjadi gadis pertama yang mencemar imej itu. Sebolehnya aku mahu menjadi pewaris bertuah dengan memelihara busana yang agung ini hingga ke akhir hayat.

      Kehadiran sampul surat keperangan di atas meja itu sedikit sebanyak telah mempengaruhi diam bicaraku. Kondisi diri telah dijangkiti kuman lemah dan bakteria lesu hingga tidak bermaya. Sampul surat itu sudah dibuka dan telah pun dibaca, dikunyah dan cuba dihadam.

      Namun, apa yang membuatkan diri ini termanggu seketika kerana isi bicaranya amat sukar untuk ditelan sekali gus kerana ia menyangkut akan kehidupanku. Sekiranya tawaran itu diterima pelbagai lagi pertimbangan yang perlu difikirkan. Persoalannya sekarang ini dari mana aku hendak mendapatkan wang perbelanjaan untuk menyara hidup di alam kampus nanti ?

      Sememangnya impian itu menjadi impian setiap orang yang bergelar pelajar. Memasuki menara gading, memburu cita-cita menjadi tuntutan jika ingin menghuni istana keselesaan di dunia yang penuh pancaroba ini. Ada kalanya aku terfikir juga yang kekayaan sering kali menidakkan hak kemiskinan untuk bersuara. Acap kali kemiskinan perlu mengalah dengan kekayaan.

      Kesempatan dan peluang sudah terjelma. Allah S.W.T memberi satu titik permulaan kepada diriku untuk menggubah nasib keluarga. Atas kesempatan itu tidak disertakan sekali dengan kelengkapan yang selengkapnya. Dia menyeru hambanya untuk berusaha sedikit. Kejayaan tidak akan datang bergolek. Usaha berterusan, berdoa dan bertawakal menjadi senjata untuk menjulang kejayaan.

Nak tahu apa jadi selepas itu ? Nantikan pada entry yang lain ...........

Assalamualaikum, terima kasih dan salam ukhuwah :)